Isnin, 16 Januari 2012

Petua Memperbaiki komunikasi




PETUA-PETUA UNTUK MEMPERBAIKI KOMUNIKASI DALAM TEAMBUILDING
( petua dari Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah)

Kemahiran komunikasi antara perseorangan melibatkan berbagai-bagai aspek dan berhubungkait dengan bermacam-macam konteks. Sebahagian dari aspek-aspek ini dinyatakan secara ringkas di bawah ini.

Latih diri supaya mudah mengingat nama orang lain. Semasa berinteraksi gunakan nama orang yang sedang berhubung dengan kita. Ini akan menyebabkan perhubungan menjadi lebih mesra dan melahirkan kesan psikologi yang positif. Nama kita adalah perkataan yang paling indah pada pendengaran kita (walaupun ianya BULAT BIN BUJAL).

Kita harus sentiasa mengingat hakikat bahawa penghargaan dan pujian akan membawa kesan positif dan meninggikan prestasi orang lain manakala kritik menyebabkan kesan yang sebaliknya. Berikan penghargaan dan pujian secara jujur.

Jangan lupa untuk MEMBELAI (secara fizikal atau psikologikal atau kedua-duanya) seseorang sebelum kita mengkritiknya. Belaian ini akan menyejukkan hati pendengar dan menyebabkan pendengar itu lebih bersedia untuk menerima kritikan tersebut. Sampaikan kritikan dengan nada yang rendah dan air muka yang mesra dan ikhlas.

Sampaikan puji-pujian dari pihak yang ketiga kepada orang yang sedang kita ajak bercakap. Walaubagaimanapun tidaklah perlu kita menyampaikan komen-komen yang negatif. Setakat mana yang boleh kita harus membela orang lain yang sedang dikritik jika orang itu tiada di situ untuk membela dirinya sendiri.

Jangan bebankan orang lain dengan masalah kita, kecuali bila perlu. Kita harus ingat bahawa orang lain pun mempunyai masalahnya tersendiri yang kita tidak tahu. Dalam konteks ini apabila orang lain menceritakan masalah kita kepadanya kecuali kalau ia dapat membantu dalam menyelesaikan masalah orang lain itu.

Latih diri supaya menjadi orang yang mudah dan seronok didampingi. Sentiasa tunjukkan muka yang manis dan mesra. Orang yang mukanya masam harus berlatih untuk SENYUM dan diberi ganjaran oleh ALLAH.

Bila kita tergerak untuk berdebat atau berbalah dengan orang lain, ingatkan diri kita bahawa setiap individu mempunyai pandangan yang unik dan mungkin berbeza mengenai seseorang, sesuatu objek atau sesuatu keadaan. Hormati pandangan orang lain kerana setiap individu berhak untuk mempunyai pandangannya sendiri, kecuali pandangan yang bertentangan dengan syarat.

Pastikan kita hanya memberi komen atau pandangan mengenai perkara-perkara atau isu-isu yang dapat kita bincangkan secara optimistic dan bersemangat. Optimisme dan semangat yang kita tunjukkan Insya-Allah akan menular kepada pendengar kita.

Pemajuan Peribadi dan Konsep Kendiri




Takrif konsep kendiri
  • Mencerminkan bagaimana seseorang itu menilai tentang dirinya, samada dari segi peranan yang dimainkannya (sebagai kawan, adik, pekerja, pelajar, insan dan sebaginya); ciri-ciri personaliti (kejujuran, daya cipta, ketahanan, kefleksibelan, kesungguhan, kelecehan, dll); keadaan fizikal (segak, tinggi/rendah, kurus)

Ciri-ciri individu yang mempunyai konsep kendiri yang positif

  • Memandang ke hadapan dan kurang menekankan kegagalan yang lepas. 
  •  Yakin pada pertimbangan sendiri (berdasarkan pengetahuan, pemikiran, iman, adat resam) walaupun       orang lain menentang. 
  • Cekap mengendalikan masalah – tidak kira siapa yang menghalang dan tidak takut pada kegagalan. Banyak berusaha dan bertawakkal. 
  • Dapat menyelami segala aspek perasaan tanpa dipengaruhi oleh perasaan tersebut secara negatif. Pemikiran yang rasional dan tindakan yang matang dapat membantu membendung perasaan. 
  • Berupaya membantu orang lain dan bersedia menerima bantuan. 
  • Sentiasa menganggap orang lain sebagai individu yang unik dan berbakat. Tidak pernah memperkecilkan kebolehan orang lain. Tanggapan yang positif terhadap orang lain sering menghasilkan tanggapan yang serupa dari orang lain terhadap diri kita. 


Kaedah pembentukan konsep kendiri


  • Tentukan matlamat yang ingin kita capai dari segi: Kemahiran, mutu diri dan kedudukan. Kita juga harus praktis dan teoritik dalam membentuk matlamat yang ingin kita capai. 
  • Buat keputusan: Orang yang cekap dan berani membuat keputusan pada dasarnya mempunyai konsep kendiri yang tinggi. Kita harus mengambil setiap peluang untuk membuat keputusan dan tidak sekadar mengharapkan orang lain membuat keputusan untuk diri kita. Kita juga harus bersedia menanggung akibat dari keputusan yang kita buat – samada kesan positif atau negatif. 
  • Bayangkan penghasilan yang kita harapkan: Kebolehan membuat gambaran mencerminkan daya cipta kita. Apa yang kita bayangkan dalam pemikiran kita sering mempengaruhi perlakuan kita. Lantaran itu, kita harus sentiasa kita membayangkan dan mengharapkan sesuatu yang positif. 
  • Main peranan (role play); Latih diri untuk memainkan peranan yang diharapkan. Latih secara fizikal dan secara mental perlakuan baru yang mungkin terpaksa kita jalankan apabila kita berjaya mencapai matlamat kita. 
  • Bentuk kemahiran dalam sesuatu bidang: Kewibawaan yang dibentuk melalui kepakaran dapat mengukuhkan konsep kendiri kita. Melalui kemahiran ini juga kita dapat meninggikan sumbangan kita kepada organisasi atau orang lain. Kemahiran ini tidak semestinya sofistikated jika ia unik atau lain dari yang lain. 
  • Gunakan kaedah sokongan (reinforcing techniques): Beri ganjaran dan belaian pada diri kita dan orang lain. Kita harus cuba untuk memberikan ganjaran yang setimpal dengan prestasi atau penghasilan yang didapati. Kita juga sentiasa ikhlas, jujur dan bersyukur. 
  • Kenalpasti dan terima hakikat mengenai kelemahan dan kekurangan diri kita: Dalam konteks ini kita harus realistik. Kita seharusnya jangan terlalu mengharapkan ‘keunggulan’. Sikap yang terlalu idealistik boleh menyebabkan kita kurang bertolak ansur kepada diri kita dan orang lain. 
  • Terus belajar dari buaian hingga ke liang lahad: Carilah pengetahuan samada secara formal atau tidak formal. Pertambahan ilmu kepada diri kita boleh menaikkan konsep kendiri. 


a) Memahami diri sendiri dan orang lain

Sebelum kita cuba memperbaiki kemahiran kita dalam komunikasi kemanusiaan, adalah penting untuk kita mengenali diri kita dan juga orang lain. Proses untuk memahami diri sendiri dan orang lain melibatkan empat aspek-penerimaan kendiri, kesedaran kendiri, kepercayaan dan pendedahan.



Penerimaan kendiri (self-acceptance)


Penerimaan kendiri mencerminkan setakat mana kita menggemari dan menerima diri kita dan setakat mana kita dapat menyukai dan menerima orang lain secara jujur. Penerimaan kendiri memainkan peranan yang penting dalam usaha menjalin hubungan kita dengan orang lain dan juga dalam pencapaian objektif kita. Tegasnya, jika kita yakin dengan kebolehan kita. InsyaAllah, besar kemungkinan kita dapat mencapai matlamat kita.
Kesedaran kendiri (self-awarneness)


Aspek ini melibatkan beberapa persoalan yang harus kita tanyakan pada diri kita. Apakah kesan perlakuan kita terhadap orang lain? Adakah kita sedar mengenai sikap kita terhadap orang lain? Apakah perkara yang paling penting kepada diri kita? Apakah matlamat hidup kita? Setakat manakah kecekapan kita dalam mengendalikan konflik? Secara menyeluruh kesedaran kendiri bermakna kita lebih memahami tentang diri kita dan memahami kesan perlakuan kita terhadap orang lain.
Kepercayaan (trust)


Perhubungan yang baik adalah berdasarkan kepada kepercayaan. Tanpa kepercayaan antara satu dengan yang lain, perhubungan manusia akan berakhir dengan konflik. Suasana percaya mempercayai akan membolehkan dua pihak bekerjasama dan berkongsi objektif yang sama.
Pendedahan kendiri (self-disclosure)


Pendedahan kendiri dan tahap kepercayaan kita kepada orang lain adalah berkaitrapat. Pendedahan kendiri mencerminkan setakat mana kita sanggup menceritakan tentang diri kita kepada orang lain. Ia memainkan peranan yang penting dalam proses komunikasi yang berkesan. Melalui kaedah ini dapat mengelakkan orang lain dari mengagak-agak mengenai diri kita.